Wednesday, August 29, 2012

Fungsi Masjid Di Zaman Rasulullah SAW



MASJID adalah rumah Allah untuk beribadat kerana itu kesucian dan kemuliaannya hendaklah dipelihara. Segala amalan atau perkara yang dianggap boleh mencemarkan kesucian dan kemuliaan masjid tidak boleh dilakukan di dalam masjid.

Masjid juga bukan untuk tatapan dan ibadat sembahyang pada hari dan waktu tertentu saja. Sebaliknya, ia adalah pusat dan nadi kegiatan ummah, sama ada dari segi kerohanian atau keduniaan seperti kegiatan yang menyentuh perhubungan antara manusia dan pencipta (Allah). Begitu juga, perhubungan manusia sesama mereka sendiri dalam menguruskan hal ehwal keagamaan, ekonomi, sosial, keilmuan dan pentadbiran negara. Ia adalah tempat melaksanakan segala kegiatan manusia yang mencerminkan kepatuhan dan ketaatan kepada Allah.

Al-Quran menjelaskan fungsi masjid di dalam firman-Nya yang bermaksud: "Nur hidayah petunjuk Allah bersinar dengan nyata (terutama sekali) di masjid sebagai tempat ibadat yang diperintah oleh Allah supaya dimuliakan dan disebut serta diperingat nama Allah padanya; di situ juga dikerjakan ibadat memuji Allah pada waktu pagi dan petang. (Ibadat dikerjakan oleh) orang yang kuat imannya, yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual beli daripada menyebut serta mengingati Allah dan mendirikan solat serta mengeluarkan zakat; mereka takut hari (kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan." – (surah Al-Nur, ayat 36-37)

Dalam ayat berkenaan, tasbih atau zikir bukan hanya bererti mengucapkan subhanallah saja, melainkan lebih luas lagi, sesuai dengan makna yang dicakupi oleh perkataan berkenaan serta konteksnya. Sedangkan erti dan konteks berkenaan dapat disimpulkan sebagai takwa.

Kalau dikaji dari segi bentuk fizikal masjid pada zaman Rasulullah, ternyata sifatnya tidak seperti sifat masjid yang dibina di negeri umat Islam pada masa kini. Pada zaman itu, masjid didirikan daripada pelepah tamar dan atapnya daripada daun kurma dan apabila sujud debu melekat pada dahi.

Ketika Rasulullah berhijrah ke Madinah, langkah pertama yang baginda lakukan ialah membina masjid. Masjid pertama yang dibina oleh Rasulullah ialah Masjid Quba. Masjid ini didirikan secara bergotong-royong di atas sebidang tanah kepunyaan dua anak yatim. Keadaan masjid itu sangat sederhana, dikelilingi tembok batu bata yang diperbuat daripada tanah liat dan berlantaikan pasir (Shalaby, Ahmad. Perbandingan Agama Islam hlm: 77)

Ini disusuli pembinaan Masjid Nabawi di Madinah. Jelasnya kedua-dua masjid itu dibina atas dasar ketakwaan sebagaimana yang dijelaskan dalam firman Allah: "Janganlah engkau sembahyang di masjid itu (yang dibina oleh orang munafik) selama-lamanya kerana sesungguhnya Masjid Quba yang didirikan atas dasar takwa dari mula (wujudnya), (maka) sudah sepatutnya engkau sembahyang padanya..."– (Surah Al-Taubah, ayat 108).

Setiap masjid seharusnya memiliki landasan dan fungsi berkenaan. Itulah sebabnya Rasulullah meruntuhkan bangunan kaum munafik yang juga disebut sebagai masjid dan menjadikan lokasi itu tempat membuang sampah-sarap. Ini kerana bangunan itu tidak menjalankan fungsi masjid yang sebenarnya iaitu ketakwaan.

Masjid tidak dilihat dari segi peranannya yang khusus saja, malah dari segi pembangunan dan perkembangan ummah seperti yang pernah dilakukan pada zaman Rasulullah dan sahabat.

Di antara fungsi masjid pada zaman Rasulullah ialah:

l Tempat ibadat, terutama sembahyang berjemaah.

l Tempat pembentukan peribadi umat Islam atau dalam erti kata lain masjid adalah pusat pendidikan Islam.

l Pusat perkembangan ilmu pengetahuan kerana masjid tempat ilmu pengetahuan disampaikan baik dalam bidang akidah, syariat dan akhlak.

l Tempat wahyu diturunkan dan sebagai tempat wahyu disampaikan kepada sahabat.

l Pusat kegiatan kesusasteraan dan persuratan Islam. Ada sahabat yang menyampaikan syairnya dalam masjid.

l Pusat kegiatan sosial dan kehakiman dalam perkara yang berkaitan dengan nikah kahwin dan penyelesaian masalah umat Islam.

l Tempat letaknya Baitulmal negara.

l Tempat persinggahan musafir dan tempat menyambut tetamu.

l Lambang persaudaraan dan perpaduan umat Islam kerana setiap hari lima kali umat Islam bertemu dengan tujuan yang sama tanpa mengira kedudukan dan keturunan.

l Tempat membuat perisytiharan kepada umat termasuk perisytiharan pelantikan khalifah (Abu Shuhbah, al-Sirat Nabawiyyat Fi al- Qur'an Wa al-Sunnat jld: 2 hlm: 31).

Antara sebab masjid pada zaman silam mampu berperanan sedemikian luas ialah:

l Keadaan masyarakat yang bersatu padu dan berpegang teguh kepada nilai keagamaan dan kebudayaan.

l Kemampuan pembina masjid menghubungkan aspek sosial dan keperluan masyarakat dengan kegiatan masjid.

l Manifestasi pemerintahan terlaksana di dalam masjid.

Di sesetengah masjid di negara ini, fungsi dan peranan masjid sebagaimana pada zaman keagungan Islam dulu tidak lagi dilaksanakan.

Namun ia tidak bererti bahawa institusi masjid tidak mampu berperanan dalam hal berkenaan.

Dalam muktamar Risalah al-Masjid di Makkah pada 1975, soal peranan dan fungsi masjid dibincang dan disepakati bahawa masjid boleh berperanan dengan baik apabila memiliki peralatan dan ruangan yang memadai untuk:

l Ruang solat yang memenuhi beberapa syarat keluasannya.

l Ruang khusus untuk wanita yang memudahkan mereka untuk keluar masuk masjid tanpa bercampur gaul dengan lelaki. Ini termasuk ruang solat dan pendidikan.

l Ruang bagi sebarang pertemuan dan bilik perpustakaan.

l Ruang klinik dan ruang untuk memandi dan mengkafankan jenazah; dan

l Ruang untuk beriadah bagi remaja Islam.

Semua perkara ini harus diwarnai dengan keadaan fizikal bangunan masjid, namun semestinya melaksanakan peranan masjid sebagaimana yang disebutkan di atas. (Quraisy Shihab, Wawasan al-Qur'an hlm: 463).

Masjid adalah rumah Allah untuk beribadat kerana kesucian dan kemuliaannya hendaklah dipelihara. Segala amalan atau perkara yang dianggap boleh mencemarkan kesucian dan kemuliaan masjid tidak boleh dilakukan di dalam masjid.

sumber : http://www.bicaramuslim.com/
gambar : http://zubeyr-kureemun.com/

1 comments: